Kembara Silat Cekak Hanafi di Johor

JOHOR BAHRU : Tanggal 30hb Januari 2010 merupakan detik bersejarah buat Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Cawangan Johor kerana buat julung-julung kalinya AMMN mengembara ke pelusuk Johor untuk mendengar pandangan dan luahan serta berjumpa dengan ahli khasnya dan objektif utamanya adalah untuk menyampaikan maklumat berkaitan dengan aktiviti yang akan dilaksanakan serta isu-isu semasa.
'Kembara AMMN' ini bermula dari Rumah Persatuan di Jalan Kenangan, Johor Bahru dimana 12 orang Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (AMMN) berkumpul mulai jam 6.45pagi dan bertolak lebih kurang jam 7.30pagi menuju ke destinasi pertamanya di UiTM Segamat. Jam 10.30pagi tiba di UiTM Segamat dan disambut seluruh ahli kelas di sekitar Segamat dimana mereka berkumpul di UiTM untuk meraikan kehadiran AMMN.
Sambutan yang diberikan kepada AMMN amat diluar dugaan dan ahli di Segamat sememangnya amat mengalu-alukan kehadiran AMMN. Pelbagai info dan maklumat bertukar tangan dan yang menariknya AMMN ditayangkan hasil kreativiti ahli di Segamat dalam penghasilan video sketsa yang cukup baik. Rupanya ramai ahli yang berbakat seperti menjadi pengarah, pelakon, hero, heroin, krew pengambaran dan produksi drama. Kami AMMN amat menghargai bakat yang ada untuk aktiviti yang akan dirancang kelak.
Selesai tayangan, kami dihidangkan pula dengan makanan yang cukup enak dan sedap. Tidak dilupakan raja buah iaitu 'durian' turut menjadi santapan AMMN. Tatkala jam menunjukkan 2.30ptg kembara AMMN meneruskan perjalanan menuju destinasi kedua iaitu UTHM, Batu Pahat. Tiba di UTHM jam 4.00ptg dan sambutannya juga sama seperti di Segamat amat luar biasa.
Di UTHM, kelas latihan sekitar Batu Pahat dan Muar berkumpul bersama-sama untuk mendengar maklumat aktiviti yang disampaikan oleh Urusetia, Perhubungan & Seranta, Perbendaharaan, Agama & Kebajikan serta Kemahiran & Demostrasi.
En. Harith Abd. Hamid selaku YDP PSSSCUHM Cawangan Johor yang mengetuai rombongan turut menyampaikan amanatnya kepada kelas latihan Batu Pahat dan Muar. Jika di Segamat diamanahkan untuk mengumpul seramai 200 ahli yang akan menyahut cabaran 1 dalam 10000, iaitu Jom Silat, maka bagi Batu Pahat diamanahkan untuk mengumpul 400 ahli manakala Muar pula seramai 200 ahli. Itulah yang dikatakan cabaran 1 dalam 10000.
Dikesempatan ini juga disampaikan tauliah tenaga pengajar bagi setiap tenaga pengajar kelas di Batu Pahat dan juga Muar. Ianya merupakan satu penghormatan yang diberikan oleh penyelia kelas Batu Pahat dan Muar kepada Yang DiPertua PSSCUHM Cawangan Johor sempena 'Kembara AMMN'.
Setelah selesai menjamu selera lebih kurang jam 6.30ptg perjalanan kembara diteruskan menuju ke daerah Pasir Gudang. Ahli di sekitar Pasir Gudang berkumpul seawal jam 8.00mlm tetapi rombongan kembara hanya tiba jam 9.00mlm dan ianya cukup meresahkan. Betapa keprihatinan ini menunjukkan betapa kuatnya ikatan hubungan sesama ahli. Seperti di Segamat dan Batu Pahat maklumat bertukar tangan dan dengan penuh rendah diri YDP mengumumkan jumlah ahli yang perlu dikumpulkan oleh kelas Pasir Gudang adalah seramai 200 ahli.
Dengan daerah Segamat seramai 200 ahli, Muar seramai 200 ahli, Batu Pahat seramai 400 ahli, Pasir Gudang 200 ahli dan tidak dilupakan daerah Johor Bahru iaitu seramai 800 ahli. Ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah 1800 ahli Silat Cekak Hanafi Johor yang akan menyahut cabaran 1 dalam 10000.
Kembara AMMN ini menamatkan destinasinya di Pasir Gudang dan setelah selesai menjamu selera lebih kurang jam 12.00 mlm rombongan AMMN kembali ke Rumah Persatuan, Johor Bahru untuk pulang ke rumah masing-masing.
Nantikan kemunculan 'Kembara Cekak Hanafi Johor' yang mana penyertaannya tidak hanya terhad kepada AMMN sahaja malah terbuka kepada seluruh ahli yang ingin turut serta.





